Indahnya hidup bermasyarakat. Berukhuwah dengan mereka yang sentiasa berada di sisi tidak kira ketika senang mahupun susah. Ada saja yang buat kita tersenyum, ketawa, menangis, sedih dan sebagainya. Pelbagai jenis manusia yang ditemui, begitulah juga dengan berbagai-bagai ragamnya.
Di suatu senja selepas solat maghrib..
Adik : “akak, tlg ajar saya kelim kuih ni”
Saya: “picit bagi nipis lepas tu tolak ke atas”
Adik : “Camni?”
Saya: “Ya..ngamlah tu”
Adik :” Macam tak jadi je kak”
Saya: “ Em.. Memanglah. Kuih tu jangan bagi mereng”
“Hahaha!.” Tiba-tiba semua yang ada di situ ketawa dengan tangan yang menutup mulut.
Saya hanya melihat dengan dahi yang berkerut kehairanan. Menggaru kepala yang tidak gatal..
“Silap ayat ke?” Saya bertanya.
Adik ke-2: “Ye akak”. Jawabnya dengan ketawa yang masih bersisa.
“Ha,ah lah..mereng tu kan otak tak betul. Senget baru sesuai.” Balas saya menyokong.
Ketawa berderai..
Adik ke-3: “Maaflah akak. Ya, Allah... Kelakarlah.”
Saya hanya membalas dengan senyuman. Terasa lucu dan malu pada kesilapan sendiri.
Hati meyakini benar ini adalah tarbiyah halus dari-Nya. Setiap perkataan biarlah diletakkan pada tempatnya. Begitu juga tutur bicara, harus mengikut kefahaman pendengarnya supaya mudah bagi saya dan mereka. Jika tidak, sudah tentu saya kena mengulanginya lebih dari tiga kali.
Banyak yang saya belajar dari mereka. Dan lagi banyak mereka mengajar saya. Perbincangan, pandangan dan juga nasihat sering kami kongsikan bersama. Adakalanya sepanjang hari saya tersenyum melihat telatah mereka. Tidak kurang dengan sesi "buli-membuli". Pastinya ada pihak yang dahulu meminta maaf.
Manisnya ukhuwah!
Saya seringkali menceritakan tentang suasana bumi kelahiran saya kepada mereka yang masih kurang mengerti. Pendedahan yang masih kurang dan sempit tentang bumi di bawah bayu cuba untuk dibuka luas. Membetulkan semula tanggapan kuno yang melekat pada benak fikiran. Dan seterusnya berkongsi sedikit-sebanyak lahjah Kepulauan Borneo.
Sedikit terkejut bila ada yang bertanya.
“ Tempat enti masih ada yang tinggal dekat atas pokok ke?”
“Masih..Tapi kalu kami nak pergi pokok sebelah, kami naik helikopter.” Saya menjawab sambil tersenyum. Si penyoal hanya melopong.
*********
Tidak usah dimarah pada mereka yang tidak tahu. Tidak usah terasa hati pada mereka yang kurang faham. Bagaimana jiwa harus membentak dan lidah sanggup melontarkan kata-kata kesat hanya kerana soalan yang tampak “ketandusannya”. Seperti anak kecil yang bertanya pada ibunya mengapa tidak bertudung seperti neneknya. Sekadar pertanyaan bukannya sindiran!
Begitu juga halnya. Ada yang langsung tidak tahu dan memerlukan penjelasan. Barangkali juga mereka tidak pernah berkunjung ke sana lalu sukar untuk menggambarkan realiti sebenar. Atau lupa tentang maklumat yang pernah dipelajari. Dan boleh jadi khabar angin yang disampaikan adalah pembohongan semata.
Belajarlah menuding kelima-lima jari pada diri sendiri. Silap sendiri jika tidak memperbetulkan apa yang mampu untuk diperbetulkan. Dan tidak membetulkan apa yang mesti dibetulkan.
p/s: Bersilaturrahmilah Lillahi Ta’ala. Pasti terkandung kebaikan yang tidak terhitung. InsyaAllah.
Alhamdulillah abadan .
No comments:
Post a Comment