Sesungguhnya “attarbiyah bilqudwah” iaitu didikan melalui teladan adalah sebaik-baik jalan dan pendekatan kearah kejayaan. Dan contoh teladan Islam yang berterusan adalah syakhsiah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kerana peribadi baginda sentiasa diikuti oleh setiap generasi. Tidak syak lagi, mengikuti dan mencontohi Rasulullah adalah merupakan perkara yang sangat diambil berat oleh mereka yang beriman.
Adapun para sahabat, mereka ini mengambil Rasulullah sebagai ikutan yang a’la bagi mereka. Buktinya, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah, mereka meyusuri jalan dengan mengikut petunjuk baginda, sehinggakan mereka menjadikan diri mereka itu qudwah (teladan) bagi orang mu’min selepas wafatnya Rasulullah sallallahu 'alaihi Wasallam melalui perbuatan, perkataan dan juga pendirian mereka keseluruhannya.
Bagi setiap masyarakat muslim, haruslah sentiasa peka dan teliti a'la intisyari hidayah iaitu dalam menyebarkan petunjuk di kalangan individu melalui cara da’wah ilal khair( menyeru kearah kebaikan), dan suluk almustaqim( menunjukkan jalan yang benar), dan juga qudwah assolihah(teladan yang baik). Berikutan juga, Allah Subhanahu wa Taala telah menyediakan kepada pemberi petunjuk yang berjaya juga kepada penda’wah yang soleh ganjaran pahala sepertimana pahala orang yang mengikuti mereka.
Sabda Rasulullah yang bermaksud : ((sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala sepertimana pahala orang yang mengikutinya dan tidak akan berkurang walaupun sedikit,dan sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka keatasnya dosa sepertimana dosa orang yang mengikutinya)). Riwayat muslim.
Dalam realiti kehidupan, kita mendapati banyak contoh teladan di kalangan masyarakat iaitu yang pertama; di peringkat keluarga, ibu dan bapa menjadi contoh kepada anak-anak mereka dan yang kedua di peringkat sekolah, guru-guru menjadi contoh kepada anak-anak murid dan contoh-contoh ini mempengaruhi serta memberi kesan yang kuat terhadap peribadi anak-anak tersebut.
Manusia keseluruhannya sangat memerlukan seseorang yang dapat membentuk peribadi mereka dengan keperibadian Islam dan membentuk akhlak mereka. Ini kerana jika sekiranya tidak terdapat apa yang mereka perlukan untuk dijadikan panduan, maka berlakulah kepincangan dalam masyarakat. Kita ambil contoh, bilamana individu melihat kepada masyarakat sekelilingnya menipu dan penyebaran penipuan, maka dia juga akan belajar menipu malah amat sukar baginya untuk mempelajari amanah.
Adalah sangat penting bagi kita memperaktikkan dan menunjukkan teladan yang murni walau di mana saja kita berada terutamanya di rumah, di sekolah, di jalanan dan juga di media massa.
No comments:
Post a Comment