Kan terus melangkah.. Ya Allah, Redhailah aku apa adanya ..“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hati ku atas agamaMu (Islam). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri.”

07 January 2010

Mudah Tapi Berat!!

Alhamdulillahillazi la yuhso ilallahi Subhanahu wa Taala ‘ala kulli ni’mah wa minhihi. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wasallam diatas segala jerih payah dan cinta baginda kepada kita sehingga kita dapat merasai nikmat iman dan Islam pada hari ini.

Untuk kali ini, penulis ingin membawa para pembaca menyoroti senario kehidupan yang berlaku di sekeliling kita sama ada sedar atau pun tidak. Ini berdasarkan apa yang telah penulis alami ketika mana seorang sahabat meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap sikap sebilangan kita yang suka “main hentam”.

Siapa yang tidak marah bilamana hak milik peribadi “diceroboh” tanpa izin? Siapa yang tidak geram bilamana sikap suka “ambil kesempatan”, tabiat diri gemar kepada “ sudah diberi betis hendak paha” dan kelaziman bicara ”dia ok saja tu” berlaku dikalangan kita tidak kira sahabat, teman, kawan, jiran, saudara mahupun orang yang tidak dikenali.

Bukankah sesuatu yang kecil itu punya amanah untuk kita pikul? Apatah lagi sesuatu yang besar? Kenapa tidak kita berikan dan tunaikan apa yang sememangnya punya mereka?


Penulis ingin menerangkan beberapa kupasan mengenai tajuk “amanah” yang telah dipelajari di kuliah sebelum ini kerana skopnya yang begitu luas, menyeluruh dan “menakutkan”.

Sebenarnya, ianya sangat berat walaupun hanya nampak mudah pada pandangan kita. Ini kerana amanah adalah tunjang kepada akhlak seseorang muslim yang mana ianya lahir melalui aqidah seterusnya menunjukkan benar dan lurusnya jalan yang diikuti. Lebih-lebih lagi ia adalah sifat yang tidak ternilai bagi pemiliknya kerana apa yang dijanjikan dan apa yang yang dipertanggungjawabkan sudah pastinya akan dilunaskan.

Di antara mauthinun adzim min mawathin amanah yakni asas yang paling utama dan paling besar dalam amanah adalah husnu mu’amalatinnas iaitu bergaul baik dengan manusia, manakala “kepala” bagi amanah pula adalah penguasaan ke atas manusia seterusnya menjaga perkara-perkara mereka yakni harta-benda, masalah, dan hal-hal yang berkaitan atau ayat yang lebih ringkas adalah kepimpinan .

Begitu juga dengan agama iaitu syariat Allah yang mana kita diwajibkan merujuk padanya dan mengikut batas-batasnya serta tidak mengabaikannya,, termasuklah juga keluarga iaitu mendidik isteri dan anak-anak dengan didikan yang terbaik, seterusnya bekerja, belajar, menjaga harta manusia, menyembunyikan dan merahsiakan keburukan mereka serta menyiarkan kebaikan mereka.

Ringkasnya, hidupnya seseorang muslim itu secara tidak langsung keseluruhan yang ada padanya adalah amanah. Justeru, wajiblah keatas kita agar tidak meninggalkan dan mengabaikannya.

Firman Allah subhanahu wa Taala : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya" Q(4:58) dan Sabda Rasulullah : (( tidak beriman bagi siapa yang tidak amanah)).

Demikianlah betapa cantik, lengkap, padat dan sempurnanya deen Islam dalam memberi garis panduan kepada kita bagi apa jua tindak tanduk yang ingin dilakukan dari benihnya hinggalah ke bunganya dan ini sudah tentunya adalah untuk kebaikan kita semua. Jika kita menurutinya, pastinya terhindar dari perbalahan, persengketaan, dan perasaan negatif kerana agama Islam adalah agama yang cukup jelas dan berhikmah dalam pelbagai aspek kehidupan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbaiki kelemahan diri dan menunaikan amanah yang sebelum ini terbengkalai dan terabai agar kita tergolong di dalam golongan hamba-Nya yang beriman. InsyaAllah.

Hikmah,
Cairo, Egypt..


::Alhamdulillah abadan=)::

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Copyright© All Rights Reserved Ibtihaajhikmah.blogspot.com