Mungkin agak terlalu lewat untuk saya kongsikan pengalaman ini tapi pada saya ianya masih baru dan “mentah” kerana masih dihujani persoalan yang sama walaupun kadar masanya ditahap “kadangkala”.
“kenapa awak pindah?” MEREKA bertanya.
“eh, balik-balik juga menanya.ndakan lupa pula.” Getus saya di dalam hati.
Astaghfirullah al-azim. Baru saya teringat bahawa mereka ini bukanlah orang yang sama yang saya kira lupa akan jawapan saya tetapi mereka adalah yang baru saya kenal. Yang mana kertas peribadi sesama kami masih kosong. Yang mana hati kami baru ditaut semata-mata atas rahmat dan keizinan-Nya. Yang mana ianya cabang kepada panjangnya usia.
Setiap perkenalan pastinya bersulamkan pertanyaan bukan?. Saya cuma tersenyum apabila mendengar soalan mereka. Meskipun bunyinya sama seperti mereka yang sebelum ini tapi yang jelas jawapan yang saya berikan sentiasa berbeza.
Jawab saya: “mungkin rezeki saya dekat sini”. Ya! Dimana-mana pun ada rezeki yang penting kena usaha.
“mungkin saya nak tahu banyak tempat”. Ya! dengan saya seringkali tersesat kerana tidak tahu jalan dan lupa nombor bas.
“mungkin nak jalinkan ukhuwah”. Ya! saya masih kenal wajah-wajah mereka yang pernah berta’aruf dengan saya walaupun mereka sudah tidak kenal saya.
“mungkin nak tambah pengalaman”. Ya! saya banyak belajar tentang bahasa, adat, lahjah, tradisi, perangai dan ragam mereka sehingga ada yang tak perasan saya anak Borneo.
“mungkin nak berdikari” Ya! Apa yang saya mahu dan mampu saya akan buat semata-mata bergantung padaNya.
“mungkin tempat strategik” Ya! Dekat dengan mustasyfa, jawazat, suuq, farmasi, masjid dan macam-macam lagi.
“mungkin sini senang nak kemana-mana” Ya! Bas bernombor yang sentiasa ada cuma destinasi yang berbeza. Paling penting, sabar dan hafal nombor.kalau tidak pastinya akan berlaku pada jawapan kedua saya.
“mungkin sewanya murah” Ya! Belanja yang saya guna semasa di rumah bakan selama sebulan, boleh bertahan ke bulan seterusnya. Yang penting kena bijak berbelanja.
“mungkin………” Ya! Itulah jawapan yang tepat. Tidak nampak tujuan yang sebenar. Teruk bukan?
Sudah setengah tahun saya berpindah. Hanya itu saja yang saya mampu jawab kerana “penghijrahan” saya dari rumah bakan ke asrama Malaysia atas jalan istikharah. Baik dan buruknya hanya Dia yang maha tahu.
Saya tidak berani membuat andaian yang tepat kerana setiap ikhtira’ dan ijad(kuasa mencipta dan mengeluarkan sesuatu dari tiada kepada ada) yang berlaku di alam maya ini adalah atas iradahNya semata. Siapa tahu saya akan kembali semula pada masa akan datang. Kita hanya membuat pilihan tetapi yang berkuasa menentukan, menciptakan dan mengadakan hanyalah DIA. Maha Suci Allah!
No comments:
Post a Comment